Entry saya pada kali ini sebenarnya adalah hasil tulisan Ustaz Hasrizal, ustaz paling popular di arena web dan dunia siber buat masa ni. Banyak entry ustaz Hasrizal di dalam "saifulislam.com" yang meninggalkan kesan pada diri saya dan rakan-rakan yang lain.Melalui tulisannya , Ustaz Hasrizal mampu menarik minat pembaca untuk memikirkan semula tanggungjawab kita di dunia sementara ini,sekaligus membuka minda pengunjung "saifulislam.com" untuk memikirkan semula sejauh mana kita telah menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan olehNya. Banyak lagi artikel menarik yang dimuatkan di dalam blog mahupun facebook ustaz, namun saya memilih "Erti Sebuah Perkahwinan" kerana walaupun telah berkali-kali membacanya, namun belum pernah timbul rasa jemu, bahkan ada ketikanya air mata saya akan mengalir dengan sendirinya bila mengenangkan perjalanan kehidupan diri sendiri sebagai isteri kepada suami, ibu kepada anak-anak, anak kepada ibu bapa, adik kepada kakak-kakak dan tugas-tugas saya yang lain sebagai jiran dan sebagainya. Adakah tanggungjawab tersebut telah dilaksanakan?????
Di bawah ini adalah nukilan ustaz Hasrizal sebagai pembuka hati dan minda buat sahabat dan diri saya sendiri memikir dan menilai kembali diri sendiri. Wallahualam
INI TULISAN USTAZ HASRIZAL
Baca ye......
Bulan ini, sudah lima tahun saya berumahtangga, bergelar suami kepada seorang isteri. Sungguh pantas masa berlalu. Sudah separuh dekad, saya dan isteri menempuh kehidupan yang penuh dengan pelbagai teladan dan sempadan.
Perkahwinan kami tidak susah. Ketika saya mengambil keputusan untuk memperisterikan beliau, saya hanya berpandukan kepada fatwa hati. Dengan sedikit maklumat tentangnya, dan gambar yang langsung tidak membolehkan saya mengecam rupanya, saya berpegang dengan pesan Nabi SAW bahawa hati itu tenteram kepada kebaikan dan gelisah terhadap kejahatan. ‘Orang tengah’ yang juga merupakan sahabat saya memahami keputusan tersebut.
Hati saya tenang.
Sebelum membuat keputusan muktamad, saya ke masjid untuk solat Isyak dan Tarawih. Malam Ramadhan yang cerah, saya menadah tangan memohon daripada Allah agar memberkati pilihan saya ini.
Cuaca dingin Disember 1998 di Kota Dublin mengiringi saya pulang dari Masjid di South Circular Road. Saya merenung langit. Kerlipan bintang bukanlah suatu pemandangan biasa di Ireland. Lazimnya siang dan malam kami diselubungi awan tebal. Namun saya semacam lega. Membuat keputusan yang baik pada malam yang baik.